Dua kanak-kanak hanyut sehari sebelum Gawai ditemukan lemas
Nuzuluddin Abdul Razak
Jun 2, 2022 12:07 MYT
Jun 2, 2022 12:07 MYT
SIBU: Dua kanak-kanak dari Rumah Panjang Ekaw, Nanga Sungai Semawang, Kapit, kira-kira 200 kilometer (km) dari sini, ditemukan lemas hari ini.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Abu Osman dalam satu kenyataan berkata, memberitahu kedua-dua mangsa ditemui ahli keluarga dan orang awam sekitar jam 7:15 dan 7:55 pagi tadi.
Jasad kanak-kanak perempuan Chelsea Charity Darrie Ricky, 10, ditemui dalam anggaran 20 km dari Rumah Panjang Ekaw berdekatan Sekolah Kebangsaan Nanga Embuau.
Manakala mayat Damien Dashlley Sedan Doony, 9, dijumpai sekitar 20 meter dari rumah panjang sama dan dilaporkan ditemui oleh ahli keluarga mangsa sendiri.
“Bilik kawalan bomba menerima laporan daripada pihak polis memaklumkan penemuan mangsa oleh ahli keluarga dan orang awam di Sungai Batang Rajang.
“Mangsa lelaki dijumpai 20 meter dari Rumah Ekaw dan mangsa perempuan dijumpai pada anggaran 20 km dari rumah panjang berkenaan yang berhampiran dengan SK Nanga Embuau,” katanya pada Khamis.
Mayat Damien diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kapit sementara mayat Chelsea yang ditemui dalam kawasan Balai Bomba Penyelamat (BBP) Song diserahkan kepada polis Song untuk tindakan lanjut.
Pada Selasa, dua kanak-kanak malang itu dipercayai lemas selepas tenggelam lebih 30 minit dibawa arus Nanga Sungai Semawang ketika bermandi-manda bersama keluarga mereka di tebing sungai berkenaan sehari sebelum perayaan Gawai Dayak.