Dua kanak-kanak ditemui lemas di lombong tadahan air

Siti Nur Aqilla Omar
Disember 1, 2021 12:54 MYT
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 7.28 malam tadi selepas kedua-dua mangsa ditemui. - Foto ihsan bomba
MERSING: Dua beradik ditemui lemas di kawasan tadahan air di Kampung Sisik, Tanjung Resah, di sini, petang semalam.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, mangsa yang lemas dikenali sebagai Medical Micaella, 10 tahun, dan adiknya Wilton Callos, 4 tahun.
Katanya, kedua-dua mangsa ditemui oleh bapa mereka yang menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan penyelamat.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.18 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi, mendapati benar terdapat kejadian lemas melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 4 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
"Dua kanak-kanak ini dipercayai lemas di dalam lombong tadahan air," kata Mohd Alias dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, bomba bertindak melakukan operasi surface searching di sekitar lombong itu bagi memudahkan usaha mencari.
"Mangsa berjaya ditemui oleh bapa mangsa dan terus diberikan rawatan awal, namun tiada tindak balas," tambahnya.
Mohd Alias berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik anggota tentera.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 7.28 malam.
#lemas #Kanak-kanak #lombong
;