Dua juta kenderaan dijangka guna lebuh raya Jumaat ini - Polis

Fareez Azman
April 26, 2022 17:58 MYT
Kata Razarudin, orang ramai yang ingin memulakan perjalanan perlu memastikan kenderaan serta kesihatan berada dalam keadaan terbaik sebelum bertolak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan dua juta kenderaan menggunakan beberapa lebuh raya di seluruh negara pada Jumaat ini, menjelang Aidilfitri.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin, operasi pemantauan dilakukan anggota PDRM di sepanjang lokasi panas yang dikenal pasti.
"Op Selamat 18 bermula 29 April sehingga 8 Mei dengan menggunakan tema lama iaitu 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi'.
"Sejak beberapa tahun kita adakan Op Selamat, kecuali dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), (statistik) kemalangan itu menurun. Pada masa sama, kita juga (ingin) berpesan kepada semua masyarakat atau rakyat yang pulang bercuti bermula minggu ini.
"Dijangka paling ramai Jumaat ini. Disebabkan cuti panjang, kita jangkakan kereta yang ada di jalan raya melebihi dua juta kenderaan," jelasnya.
Tambahnya, orang ramai yang ingin memulakan perjalanan perlu memastikan kenderaan serta kesihatan berada dalam keadaan terbaik sebelum bertolak.
Dari sudut keselamatan di jalan raya pula, tambah Razarudin, PDRM akan mengoptimumkan penggunaan alat in-car radar dan iCOPS di sepanjang laluan lebuh raya. Ia bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik.
"Sebelum memandu ke kampung halaman berhari raya selepas dua tahun tidak berjumpa keluarga, PDRM ingin berpesan supaya berhati-hati.
"Kita tentukan tubuh badan sihat, dapatkan tidur dengan cukup, pastikan kereta dalam keadaan terbaik dengan kita hantar servis, supaya tidak terkandas di jalan raya sekiranya kesesakan lalu lintas berlaku," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 18 bagi tahun 2022 bersama Pengerusi Telekom Malaysia Berhad Tan Sri Mohammmed Azlan Hashim di hadapan Menara TM di ibu negara pada Selasa.
#Hari Raya Aidilfitri #PKP #lebuhraya #PDRM #Op Selamat 18
;