Dua janin disyaki kembar ditemui

Astro Awani
Januari 12, 2015 11:59 MYT
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai janin ditemui (gambar) agar memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan - Foto Astro AWANI
Orang awam di sini panik apabila terjumpa dua janin dipercayai kembar di Kampung Air Jalan Bokara awal pagi Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd Ali dalam satu sidang media memberitahu kedua-dua janin ditemui oleh orang awam di lokasi berbeza dalam kampung yang sama.
"Janin pertama ditemui terapung di atas air laut di bawah jambatan 5, Kampung Air Sandakan, manakala satu janin lagi ditemui di persisir pantai Jambatan Simen 1 kampung yang sama."
Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang ramai pada 9.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita menganggarkan kedua-dua umur janin antara lingkungan enam hingga tujuh bulan, dan jantina keduanya adalah perempuan," katanya.
Menurutnya, janin-janin itu telah dibawa ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini agar menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di talian 089-212222 atau 089-242222.
#fadzil mohd ali #janin #Kampung Air Jalan Bokara #ketua polis daerah sandakan