Dua inspektor polis direman bantu siasatan

Bernama
November 6, 2012 16:44 MYT
Dua pegawai polis berpangkat Inspektor direman dilokap untuk disiasat berhubung dakwaan bahawa mereka telah mencederakan seorang suspek.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata bapa saudara kepada suspek telah membuat laporan polis Isnin lalu bahawa suspek mengalami kecederaan teruk semasa dibawa ke balai polis.
Beliau berkata suspek berumur 29 tahun dari Kampung Gersik di sini.
"Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dakwaan salah laku itu di bawah Seksyen 325 kerana sengaja mendatangkan kecederaan. Kami tidak akan melindungi sebarang salah laku anggota kami dan dua pegawai tersebut akan dihukum seperti orang lain jika mereka didapati bersalah. Pada ketika ini, kami akan menyiasat
secara adil dan tidak akan berkompromi dan menunjukkan kepada awam bahawa kami mengamalkan ketelusan dalam tugas kami," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Negeri di sini hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu itu, dua Inspektor tersebut pada mulanya telah diarahkan ke pusat hiburan itu setelah polis menerima laporan berlaku pergaduhan di situ.
Mereka cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun kedua-duanya dikatakan telah dipukul.
Suspek dilaporkan turut merompak dompet yang mengandungi RM150, kad ATM dan Kad Polis milik salah seorang pegawai tersebut malah dilaporkan telah mengeluarkan wang berjumlah RM6,000 dari akaun banknya menerusi mesin ATM.
Polis bertindak segera dengan mengesan suspek di rumah rakannya di Kampung Surabaya Hilir dua hari lalu dan suspek serta rakannya yang berumur 18 tahun ditahan di situ.
Sementara itu mengulas mengenai kajadian tembak di Sibu baru-baru ini, Acryl Sani berkata kes itu masih disiasat dan percaya ia berpunca dari persaingan perniagaan.
#Datuk Acryl Sani Abdullah Sani #polis
;