Dua individu termasuk remaja bawah umur mengaku tidak bersalah lakukan khianat

Bernama
November 28, 2024 22:15 MYT
Hakim Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 30 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Dua individu termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api bulan lepas.
Chin Kah Ang, 20, dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Kedua-dua mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat untuk mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar kereta Perodua Myvi milik Ho Kang Chun, 28, hingga menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian lebih RM50 di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru pada pukul 2 pagi, 22 Okt lepas.
Bagi kesalahan itu kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda.
Hakim Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 30 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala Chin diwakili peguam K Bharathi dan remaja berkenaan diwakili peguam P Rajagunaseelan.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #Perodua #sebutan semual kes #khianat
;