Dua individu lesap RM16,518 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Azee Shafy
Mac 14, 2022 14:36 MYT
Mohd Wazir berkata, suspek turut mengugut mencari anak mangsa jika gagal membayar yuran tambahan dan membatalkan permohonan untuk pinjaman itu. - Gambar fail
KUANTAN: Dua individu, masing-masing kerugian RM14,700 dan RM1,818 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud dalam kejadian yang dilaporkan pada 13 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, seorang pekerja kedai bunga di Mentakab, mengalami kerugian sehingga RM14,700 setelah tertarik dengan tawaran pinjaman mudah melalui laman sosial Facebook.
Katanya, mangsa merupakan seorang wanita berusia 47 tahun mendakwa terlihat iklan berkenaan, dan telah menekan pautan disediakan pada laman Facebook itu sebelum dihubungi suspek yang dikenali sebagai Allen.
"Suspek menawarkan permohonan pinjaman wang berjumlah RM50,000 namun mengarahkan mangsa melakukan transaksi pindahan wang ke nombor akaun diberikan bagi proses kelulusan permohonan pinjaman dibuat mangsa.
"Mangsa membuat lima transaksi ke akaun diberikan suspek pada 11 Mac dan 12 Mac selain diarahkan membayar RM6,000 sebagai yuran tambahan untuk pinjaman ingin dibuatnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata, suspek turut mengugut mencari anak mangsa jika gagal membayar yuran tambahan dan membatalkan permohonan untuk pinjaman itu.
Menurutnya, mangsa juga mendakwa dihubungi melalui tiga nombor telefon berbeza dipercayai rakan subahat suspek sepanjang urusan itu berlaku.
“Kemudiannya, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan selepas curiga dengan permintaan suspek untuk memindahkan sejumlah wang kononnya bagi tujuan proses kelulusan pinjaman,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang tukang masak berusia 23 tahun di Temerloh turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan syarikat Wang Insas Credit & Leasing Sdn Bhd melalui carian di Google.
Katanya, mangsa ditawarkan untuk permohonan pinjaman peribadi berjumlah RM6,000 dan diarahkan membuat pembayaran Sebanyak RM873 bagi memproses pinjaman.
"Pada 12 Mac, mangsa sekali lagi membuat dua transaksi berbeza sebanyak RM495 dan RM450 bagi tujuan 'credit scoring'. Bagaimanapun, mangsa menyedari irinya tertipu apabila gagal menghubungi suspek," katanya.
"Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atas kedua-dua kes ini" katanya,
#Mohd Wazir Mohd Yusof #pinjaman #sindiket penipuan #laman sosial
;