Dua individu lepas tembakan ketika menyamun di pasar raya diburu
Bernama
Februari 11, 2018 22:46 MYT
Februari 11, 2018 22:46 MYT
Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki melepaskan dua tembakan ketika menyamun sebuah pasar raya dengan senjata api di Sungai Buloh, Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt S. Somu berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 11.25 pagi.
"Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC melepaskan tembakan di dalam kedai dan ke arah kamera litar tertutup di bahagian luar sebelum melarikan dua laci kaunter juruwang yang mengandungi wang tunai kira-kira RM4,000," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek turut menyamun dompet seorang wanita yang membuat pembayaran di kaunter juruwang dan pemeriksaan mendapati motosikal ditunggangi suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian yang mana terdapat tiga juruwang dan seorang pengawal keselamatan tanpa senjata api yang berada di lokasi kejadian," katanya.
Katanya pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di tempat kejadian telah menemukan dua kelongsong dan dua anak peluru.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.
-- BERNAMA
#cedera
#dompet
#kamera litar tertutup
#keselamatan
#mangsa
#motosikal
#pasar raya
#polis
#S Somu
#samun
#senjata api
#Sungai Buloh
#suspek
#tembakan