Dua individu ditahan disyaki jual peralatan bom ikan

Ridzal Abdullah
Januari 5, 2020 21:33 MYT
Tangkapan dibuat oleh Pasukan Polis Marin Lahad Datu dalam Op Gelora Khas. - Foto ihsan PDRM
Polis menahan dua individu lelaki yang dipercayai terlibat aktiviti menjual bom ikan di rumah atas air Kampung Sri Langgas, Kunak sekitar jam 6 pagi Ahad.
Tangkapan dibuat oleh Pasukan Polis Marin Lahad Datu dalam Op Gelora Khas berdasarkan maklumat orang awam berkaitan aktiviti pengeboman ikan di perairan laut Kunak, Lahad Datu.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, ACP Mohamad Pajeri Ali, 4 Sabah dalam satu kenyataan media berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut telah menjumpai baja Ammonium Nitrat dengan berat lebih kurang 22 kilogram bahan peledak sebanyak 45 unit dan dua sumbu berukuran panjang lebih kurang 72 dan 28 inci dipercayai peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pengeboman ikan.
"Dalam operasi tersebut, dua lelaki ditahan kerana disyaki menjual peralatan untuk aktiviti mengebom ikan, masing-masing berusia 30 tahun dan berbangsa Palauh," katanya.
Menurut beliau, suspek dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki bawah jagaannya bahan letupan dengan nilai keseluruhan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM1,070.
#bom ikan #dua ditahan jual peralatan bom ikan #Kampung Sri Langgas #kunak #Lahad Datu #Op Gelora Khas #Pasukan Polis Marin Lahad Datu #pengeboman ikan
;