Dua hilang, seorang parah bot berlanggar

Sinar Harian
Ogos 8, 2024 05:45 MYT
Op Carilamat dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia di perairan Pulau Sebangkat, Semporna.
SEMPORNA: Dua penumpang dikhuatiri lemas manakala seorang parah dan seorang lagi selamat selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat dekat sini Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang hilang dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal manakala dua terselamat dikenali sebagai Reymar dan Bocoi. Reymar bagaimanapun mengalami kecederaan parah.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah diaktifkan untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat).
"Pihak Maritim telah mengatur gerak Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna ke lokasi kejadian bagi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki empat mangsa dikatakan keluar ke laut pada jam 5 petang Isnin lalu sebelum bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan. Namun individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Amir turut memaklumkan, dua penumpang terselamat namun salah seorang iaitu Reymar mengalami cedera parah.
"Mangsa cedera di bahagian lengan, lutut serta belakang badan dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna.
"Dua lagi penumpang masih hilang dan operasi memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi," katanya.
Beliau memaklumkan, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Taman- Taman Sabah. - Sinar Harian
#bot karam #pulau sebangkat #penumpang bot hilang #bot berlanggar