Dua hari siapkan baju bertema Jalur Gemilang
Astro Awani
Ogos 31, 2024 16:30 MYT
Ogos 31, 2024 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi membuktikan semangat cintakan negara, Aishah Abdul sanggup bersengkang mata dua hari menyiapkan busana berciri Jalur Gemilang untuk pertandingan pakaian beragam di Program Sambutan Anak Merdeka Hari Kebangsaan ke 67 anjuran Kementerian Perpaduan Negara pada Sabtu.
Ketika ditemui Astro AWANI, Aishah yang merupakan suri rumah sepenuh masa memaklumkan, ini merupakan tahun kedua dia menghasilkan rekaan busana buat Alisha Adreena Mohd Fadzil bagi melahirkan semangat patriotik dalam diri puteri kesayangannya itu.
“Alhamdulillah semalam dia (Alisha) sertai pertandingan busana bertemakan Jalur Gemilang di sekolah.
“Hari ini, dia juga yang bersemangat untuk naik ke pentas memperagakan busanan rekaan saya.
“Gubahan bunga menggunakan warna bendera Malaysia ini saya buat sendiri. Bila dia suka pakai, saya pun ikut gembira sama. Rasa puas hati,” katanya.
Tambahnya, kelopak bunga pada baju itu dihasilkan dengan dawai dan straw bersesuaian dengan konsep menggunakan barangan terpakai.
Sementara itu, bagi Nor Anida Jamal pula, anaknya, Nur Adriana Sofea Lut, 6, menggayakan gaun kembang bertemakan Jalur Gemilang yang disewa khas pada tahun ini.
“Dia (Sofea) memang semangat untuk naik ke pentas untuk menyampaikan pantun khas sempena Hari Kemerdekaan ke-67.
“Tahun ini saya sewa baju khas memandangkan dia juga menyertai pertandingan pakaian beragam di sekolah semalam.
“Alhamdulillah dapat kami beri pendedahan kepada anak mengenai Jalur Gemilang dan kemerdekaan,” katanya.
Program Sambutan Anak Merdeka bersempena Hari Kebangsaan ke- 67 tahun di Dewan Utama Memorial Tun Hussein Onn Kuala Lumpur dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pada Sabtu.