Dua hari keluarkan mayat dari hutan

Sinar Harian
Jun 25, 2023 12:10 MYT
Pasukan bomba berusaha membawa keluar mayat mangsa dari hutan menggunakan 'scoop stretcher'. -Foto Sinar Harian
BELURAN: Berat mayat lebih 100 kilogram dan keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di hutan pada Jumaat lalu.
Mayat lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun itu hanya dapat dikeluarkan dari hutan Borneo Timber Sungai Pinangah pada Sabtu selepas pasukan bomba melalui pelbagai cabaran di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi Jumaat.
"Menurut panggilan, terdapat seorang mangsa sakit di dalam hutan dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke hospital.
"Menurut maklumat pemanggil, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mendaki dan mengkaji hutan, namun mengalami sakit badan sehingga tidak mampu meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Edoen berkata, seramai tiga anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 132 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
"Pasukan bomba yang dalam perjalanan ke lokasi kemudian menerima panggilan susulan pada jam 2.25 petang dan dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
"Sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring di khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri.
"Pada jam 6.21 petang hari yang sama, pasukan bomba memulakan operasi dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan 'scoop stretcher' tetapi ditangguhkan akibat cuaca hujan yang menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin selain keadaan yang gelap turut menyukarkan operasi," katanya.
Tambah Edoen lagi, operasi mengeluarkan mangsa disambung pada jam 5 pagi Sabtu dengan dibantu oleh pasukan BBP Sook.
"Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari hutan dan diserahkan kepada pihak polis sebelum disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Edoen memaklumkan disebabkan tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian menyebabkan maklumat sukar disalurkan.
"Operasi ditamatkan pada jam 11.20 malam Sabtu, bagaimanapun maklumat mengenai operasi itu hanya disalurkan pada jam 12.30 tengah malam Ahad berikutan keadaan yang dihadapi," katanya. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #Mayat lelaki warga Indonesia #mayat lebih 100 kilogram #hutan Borneo Timber Sungai Pinangah
;