Dua guru didakwa bocor kertas soalan UPSR 2014
Astro Awani
November 5, 2014 20:28 MYT
November 5, 2014 20:28 MYT
Dua guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana didakwa terbabit dalam kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Tertuduh, Subbarau @Kamalanathan, 34 , yang didakwa atas lima pertuduhan dan P. Murugan 36, dengan satu pertuduhan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di depan Hakim Jagjit Singh Bant Singh.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan Subbarau di no .591 Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena, fasa 4 pada jam 8 malam antara 8 hingga 16 September lalu.
Manakala, mengikut pertuduhan yang didakwa atas P. Murugan pula, perbuatan didakwa dilakukan di no 51 Taman Sri Mawar, Mantin jam 12.15 pagi antara 8 hingga 17 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin dengan dibantu Muhamad Abu Hassan Ramli mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan diberikan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi lima pertuduhan ke atas Subbarau manakala, wang jaminan sebanyak RM3,000 diberikan dengan seorang penjamin kepada P. Murugan.
Dalam masa sama, mencadangkan dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Setelah mendengar cadangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Jagjit menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Subbarau untuk kesemua lima pertuduhan manakala, wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap P. Murugan.
Selain itu, dokumen perjalanan tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes ini selesai.
Tertuduh diwakili, peguam bela, Ramzani Idris, A. Partheeban, S.Veerapan, Lee Kai Yet, Lee Kok Wah dan A.K. Dass.
Kes akan disebut semula pada 15 Disember depan pada jam 9.30 pagi.
Pada 17 dan 18 September lalu, tiga guru termasuk seorang wanita ditahan di Negeri Sembilan untuk membantu siasatan berhubung kebocoran kertas soalan subjek Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Mereka ialah seorang guru lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di Seremban, manakala seorang lagi guru lelaki, 36, ditahan di Mantin. Guru wanita berusia 24 tahun pula ditahan di Labu.
Peralatan komunikasi milik tertuduh turut dirampas.
Akibat kebocoran kertas ujian UPSR itu, kertas soalan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil terpaksa diduduki semula.