Dua guru dibebaskan dari tuduhan bocorkan kertas UPSR

Astro Awani
April 16, 2015 15:01 MYT
Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membebaskan dua guru sekolah Tamil yang dituduh memiliki kertas soalan bocor peperiksaan UPSR tahun lalu.
Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membebaskan dua guru sekolah Tamil yang dituduh memiliki kertas soalan bocor peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September tahun lalu.
Menurut The Star Online, keputusan itu dibacakan oleh Hakim Datuk Jagjit Bant Singh pada Khamis.
Guru-guru tersebut, L. Subarau @ Kamalanathan 36, dari SJKT Ladang Batang Benar dan Murugan Palanisamy, 34, dari SJKT Ladang Lenggeng telah mengaku tidak bersalah dan telah dibicarakan pada November 5.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi 1972.
Pada September lalu, Lembaga Peperiksaan mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR Sains bagi kertas-kertas 018, 028 dan 038 telah ditunda ke 30 September setelah soalan-soalannya telah didedahkan di Internet.
Berikutan pengumuman itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, telah memohon maaf kepada semua calon UPSR atas kebocoran serta kelewatan dalam peperiksaan tersebut.
Permohonan maaf turut dibuat oleh Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh.
Polis juga telah mengambil keterangan daripada 30 individu bagi membantu siasatan atas kebocoran kertas peperiksaan UPSR tersebut.
#bocor #guru sekolah #Sains #Seremban #UPSR
;