Dua gempa susulan melanda Ranau

Astro Awani
Jun 23, 2015 20:43 MYT
Kesan gegaran itu turut dirasai di Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau dan Kundasan.
Satu lagi gempa susulan, berukuran 4.3 magnitud, melanda Sabah kira-kira jam 5.33 petang tadi.
Menurut Jabatan Meteorologi, ini merupakan gempa susulan kedua berlaku hari ini dan ke-79 sejak kejadian gempa bumi, 5 Jun lalu berukuran 5.9 pada skala Richter serta mengorbankan 18 nyawa.
Tambahnya, gempa susulan itu berpusat 19 kilometer ke barat laut Ranau di kedalaman 10 kilometer.
Kesan gegaran itu turut dirasai di Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau dan Kundasan.
Gempa susulan pertama di Ranau berlaku pada 10.54 pagi tadi berukuran 3.5 pada skala Richter, berpusat di 22 kilometer barat Ranau.
Susulan itu sebahagian siling perpustakaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali runtuh.
Namun tiada pelajar atau guru berada di situ kerana pusat sumber berkenaan ditutup sejak kejadian gempa bumi melanda daerah berkenaan, 5 Jun lalu.
Ketika kejadian, semua pelajar dan guru berkumpul di satu kawasan lapang di sekolah berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin dalam satu kenyataan berkata pihaknya meninjau lokasi kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi.
Beliau mengesahkan siling itu runtuh akibat gegaran susulan itu, bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
#gempa susulan #Jabatan Meterologi #Kota Belud #Kota Kinabalu #Kundasan #Ranau
;