Dua gangguan teknikal MRT berpunca daripada tekanan angin rendah
Bernama
Mei 19, 2023 00:31 MYT
Mei 19, 2023 00:31 MYT
KUALA LUMPUR: Dua gangguan teknikal dialami perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang pada Jumaat berpunca daripada tekanan angin rendah yang menyebabkan tren berhenti dan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) melalui kenyataan pada Jumaat memaklumkan gangguan pertama melibatkan masalah teknikal di Stesen MRT Pasar Seni bermula pada 5.24 petang.
"Pasukan kejuruteraan Rapid Rail berjaya menggerakkan tren tersebut pada 6.49 petang dan kekerapan perkhidmatan tren telah diselaraskan secara berperingkat pada 7.10 malam," katanya.
Rapid Rail berkata 10 bas perantara percuma disediakan antara Stesen MRT Muzium Negara dan Stesen MRT Maluri serta mengaktifkan pelan laluan alternatif bagi memudahkan perjalanan penumpang yang terkesan.
Mengenai gangguan teknikal di Stesen Batu 11 Cheras menghala ke Kwasa Damansara pada 7.23 malam, ia berkata pasukan kejuruteraan berjaya menggerakkan tren pada 8.04 malam serta kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat pada 8.10 malam.
"Kakitangan operasi dan Polis Bantuan ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas serta pengumuman dibuat menerusi media sosial Rapid KL, di semua stesen dan di dalam tren MRT untuk makluman penumpang," katanya.
Rapid Rail memaklum pihak operasi telah melanjutkan perkhidmatan waktu puncak dengan kekerapan tren setiap enam minit sehingga 8.30 malam dan memohon maaf di atas kesulitan dialami penumpang.
-- BERNAMA