Dua ekor Tapir Malaya dipinjamkan ke Jepun
Tan Su Lin
Disember 4, 2015 21:30 MYT
Disember 4, 2015 21:30 MYT
Kerajaan Malaysia meminjamkan dua ekor Tapir Malaya kepada kerajaan Jepun untuk tempoh 10 tahun.
Tapir Malaya jantan berusia dua tahun, yang dikenali sebagai IM, dan tapir betina, Bertam, tiga tahun, akan berlepas dari Animal Hotel, MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke negara matahari terbit itu, hari ini.
Majlis penghantaran sepasang Tapir Malaya ke Nagasaki Bio Park, Jepun dijadualkan berlepas pada 9.30 malam itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ia susulan perjanjian yang ditandatangani Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan Nagasaki Bio Park pada 13 Oktober lalu sebagai usaha kerjasama memulihara tapir.
Ia juga simbolik sebagai tanda menghargai hubungan erat antara Malaysia dan Jepun.
Nagasaki Bio Park akan menanggung sepenuhnya kos pengangkutan, penjagaan haiwan dan latihan kakitangan yang terlibat dalam usaha pemuliharaan haiwan berkenaan.
Tapir Malaya merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam (CITES).
Dianggarkan kira-kira 1,100 hingga 1,500 ekor Tapir Malaya dapat ditemui di Malaysia.