Dua ekor lembu sesat di lebuh raya

Sinar Harian
Jun 17, 2024 13:45 MYT
Tangkap layar di media sosial menunjukkan dua ekor lembu terlepas di LDP dan seekor daripadanya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan. -Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Kehadiran dua ekor lembu di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pengguna lebuh raya tersebut pada Ahad.
Rata-rata pengguna lebuh raya berkenaan terkejut apabila dua ekor lembu berada di laluan itu semasa aliran trafik sedang sibuk.
Beberapa rakaman klip video dan gambar kejadian di lebuh raya berhampiran pusat beli-belah Paradigm Mall itu tular dalam media sosial.
Malah terdapat satu rakaman video tular yang berdurasi 14 saat jelas memaparkan dua ekor lembu itu bergerak di celah-celah kenderaan di lebuh raya itu.
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut dipercayai mengalami kerosakan akibat terlanggar seekor lembu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dalam satu kenyataan ringkas berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memaklumkan dari mana dua ekor lembu tersebut terlepas. -Sinar Harian
#LDP #lembu terlepas #Paradigm Mall #video tular
;