Dua ekor kucing hutan disembunyi dalam tandas dirampas

Bernama
Januari 25, 2020 19:59 MYT
Dua ekor kucing hutan jenis 'Flat Headed Cat' dirampas dalam satu serbuan oleh Batalion 11 Pasukan Gerakan Am. - BERNAMA
Dua ekor kucing hutan jenis 'Flat Headed Cat' dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas dalam satu serbuan oleh Batalion 11 Pasukan Gerakan Am, Kuching di Bau, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Supt Rosdi Inai berkata dalam operasi yang dijalankan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada jam 6.30 petang itu, haiwan berkenaan ditemui di dalam tandas sebuah rumah yang diubahsuai menjadi kandang haiwan.
"Haiwan berkenaan adalah sepasang kucing (jantan dan betina) dipercayai diperoleh dari kawasan Bau/Lundu dan menunggu tawaran harga yang tertinggi daripada pembeli terutamanya penggemar spesis (haiwan) eksotik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penemuan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengaku sebagai pemilik dua ekor kucing hutan tersebut.
"Kes diserahkan kepada pihak SFC Kuching untuk disiasat mengikut Seksyen 29, (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang boleh membawa hukuman denda RM25,0000 dan penjara dua tahun jika sabit kesalahan," katanya.
Rosdi juga menasihatkan masyarakat setempat supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya pihak polis bagi mengawal aktiviti menyeludup dan melindungi khazanah negara.
-- BERNAMA
#Bau #Flat Headed Cat #haiwan eksotik #Kucing Hutan #Pasukan Gerakan Am #Sarawak Forestry Corporation #sembunyi kucing dalam tandas #SFC #SFC Kuching
;