Dua ditemukan rentung dalam pondok pengawal di Kulim

Adie Sufian Zulkefli
Disember 12, 2022 11:00 MYT
Mangsa ditemukan rentung dalam pondok pengawal di Taman Bayam Indah pada Ahad malam. -JBPM
KULIM: Dua mayat ditemukan rentung dalam pondok pengawal yang terbakar di Taman Bayam Indah, Lunas, dekat sini, malam tadi.
Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 malam memaklumkan mengenai kebakaran terbabit.
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba Penyelamat Kulim dikejarkan ke lokasi.
"Ketika memadam kebakaran anggota bomba mendapati terdapat dua mangsa rentung dalam pondok terbabit.
“Mayat terbabit masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan dalam pondok pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu.
"Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari dalam pondok pengawal dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kematian.
#Sayani Saidon #pengawal keselamatan rentung #Taman Bayam Indah #pondok pengawal terbakar
;