Dua ditemukan lemas ketika mandi di Papar

Bernama
Disember 26, 2024 22:37 MYT
Salah seorang mangsa diberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Bomba Sabah
PAPAR: Remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemukan lemas dalam kejadian di Pantai Bundusan, Kampung Bundusan di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.38 petang tadi, mengenai kejadian empat mangsa dipercayai lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti mandi manda.
Beliau berkata tiba di tempat kejadian pukul 6.01 petang, pihaknya mendapati remaja lelaki berusia 14 tahun itu ditemukan orang ramai dan diberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki 12 tahun berjaya diselamatkan orang ramai dalam kejadian tersebut.
"Mangsa ketiga (kanak-kanak 7 tahun meninggal dunia) ditemukan pasukan bomba terdampar di tepi pantai pada pukul 6.58 petang tadi.
"Pada masa ini pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang lagi mangsa lelaki berusia 48 tahun yang masih hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
-- BERNAMA
#remaja lemas #kanak-kanak lemas #pantai bundusan #bomba #Sabah
;