Dua ditahan dipercayai terlibat sindiket jual tiket penerbangan ke Korea

Astro Awani
Mei 24, 2022 18:43 MYT
Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima laporan polis itu dibuat di seluruh negeri Johor membabitkan kerugian RM59,125. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima lima laporan polis daripada lima warga Korea yang menjadi mangsa satu sindiket penjualan tiket penerbangan ke negara itu, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima laporan polis itu dibuat di seluruh negeri ini membabitkan kerugian RM59,125.
Sehubungan itu, beliau berkata, seorang wanita warga Korea dan seorang warga tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan itu telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Kita masih dalam siasatan (operasi sindiket Korea) bukan di Johor sahaja di seluruh Malaysia... di Sabah dan Kuala Lumpur juga ada, tapi yang kita dapat ambil tindakan di sini (Johor) berdasarkan laporan polis tersebut," kata Kamarul Zaman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, pada Selasa.
Jelas Kamarul Zaman, hasil siasatan mendapati mangsa terbabit membuat pembelian tiket penerbangan untuk pulang ke Korea dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, menyedari mereka telah ditipu oleh suspek yang dipercayai membuka akaun bank agensi pelancongan yang palsu.
Katanya, sindiket yang didalangi warga Korea dan Malaysia itu menyasarkan warga negara terbabit yang berada di negara ini ketika tempoh PKP dan ingin pulang ke negara asal mereka.
#sindiket #tiket penerbangan #tiket ke Korea #ketua polis johor
;