Dua ditahan cuba halang penjawat awam bertugas depan Masjid Zahir

Adie Sufian Zulkefli
Mac 16, 2024 09:15 MYT
Seorang individu (kiri) bertegang leher dengan dua anggota penguatkuasa Majlis Bandar Raya Alor Setar di Dataran Medan Bandar, depan Masjid Zahir, Alor Setar, malam tadi.
ALOR SETAR: Polis menahan dua individu kerana terlibat dalam insiden pergaduhan dan disyaki menghalang penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas di kawasan Dataran Medan Bandar, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian jam 11.38 malam itu, seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) sedang membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kejadian itu tular di media sosial itu memperlihatkan dua individu terlibat dilihat menjerit-jerit terhadap penguatkuasa dan mencabar mereka untuk membuka uniform selain mengeluarkan perkataan kesat.
“Tindakan mereka seakan tidak mempedulikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang berkumandang dari Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir dan kegagalan mengawal emosi menyebabkan dua individu mengajak anggota penguatkuasa yang melakukan operasi sitaan itu bergaduh.
"Di dalam video itu terlihat tugas anggota MBAS itu dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawan awat yang menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, sumber MBAS memaklumkan, kawasan tersebut sememangnya menjadi kawasan larangan untuk sebarang aktiviti perniagaan.
"Terdapat papan tanda besar yang memaklumkan mengenai larangan tersebut di kawasan itu. Malah notis mengenainya telah dikeluarkan sejak 2022 termasuk di laman media sosial dan masih terpakai hingga kini.
"Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dengan siasatan terhadapnya sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan," katanya.
#dua ditahan #penjawat awam #operasi sitaan #Masjid Zahir
;