Dua ditahan bantu siasatan penemuan mayat dalam keadaan tangan, kaki terikat

Astro Awani
Mac 10, 2020 06:21 MYT
Mayat lelaki itu ditemukan penduduk pangsapuri pada Isnin malam. - Astro AWANI/Gambar fail
Polis menahan dua lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki, dipercayai dibunuh, di Flat Taman Pauh Indah di sini, pada Isnin malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan itu merupakan kenalan mangsa.
"Dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut dan mereka akan dibawa ke mahkamah esok (Rabu) untuk mendapatkan perintah reman," katanya malam tadi.
Menurut Bernama, mayat lelaki itu dikenali sebagai Zahari Abdul Hamid, 48 tahun, yang tinggal seorang diri dan ditemui dalam keadaan terlentang dalam bilik utama rumahnya.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa ditemukan dalam keadaan kaki dan tangannya diikat manakala kepala diserkup dengan sarung bantal.
BACA: Mayat dijumpai dengan tangan dan kaki terikat, kepala ditutup sarung bantal
Mohd Mustafa memaklumkan, laporan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya mendapati, kematian mangsa berpunca daripada kelemasan akibat sukar bernafas.
Setakat ini siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#bunuh #Flat Taman Pauh Indah #kepala diserkup dengan sarung bantal #lemas #mahkamah #mangsa #mayat #Mohd Mustafa Bidin #polis #reman #Seberang Perai #siasatan #sukar bernafas #suspek #tangan kaki diikat #Zahari Abdul Hamid
;