Dua didakwa miliki, jual android box tanpa kelulusan SKMM

Astro Awani
April 5, 2023 21:52 MYT
Yap Kim Fatt dan Chu Kar Wai didakwa mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 kerana memiliki dan menjual tiga perkakas itu dengan kandungan yang tidak dibenarkan. - Foto ASTRO
KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas kesalahan memiliki dan menjual android box tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, N Priscilia Hemamalini.
Yap Kim Fatt, 42 tahun dan Chu Kar Wai, 29 tahun didakwa mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 kerana memiliki dan menjual tiga perkakas itu dengan kandungan yang tidak dibenarkan.
Pendakwaan terhadap tertuduh menyaksikan mereka merupakan yang pertama didakwa mengikut akta itu sejak pindaan berkuat kuasa pada Mac tahun lepas.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa melanggar Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000.
Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 untuk setiap tertuduh.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah menetapkan 19 Mei depan untuk pengurusan kes.
#android box #Mahkamah Sesyen #Kuala Lumpur #SKMM
;