Dua didakwa buat hantaran palsu berhubung kehilangan jongkong emas di kuil Batu Caves

Bernama
Jun 2, 2021 21:02 MYT
D. Arumugam, 51, dan R. Thanaletchimy, 63, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi palsu berhubung kehilangan jongkong emas seberat lebih 220 kilogram di sebuah kuil di Batu Caves, tahun lepas.
D. Arumugam, 51, dan R. Thanaletchimy, 63, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Arumugam didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berhubung kehilangan jongkong emas itu melalui laman Facebook 'Arun Dorasamy' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain manakala Thanaletchimy didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan aplikasi WhatsApp kepada satu kumpulan iaitu 'Makkal Mandram 101.'
Arumugam didakwa melakukan kesalahan itu pada 4.27 petang 6 Feb tahun lepas manakala Thanaletchimy didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 2.27 petang 11 Feb tahun sama.
Pautan bagi kedua-dua hantaran itu masing-masing telah dibaca pada 9 pagi 23 Feb dan 2.30 petang 11 Feb tahun lepas di Pejabat Kuil Batu Caves, Gombak di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun peguam N.Rajesh dan B. Arun Ganesh, masing-masing mewakili Arumugam dan Thanaletchimy, memohon jaminan rendah.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
#Mahkamah Sesyen #komunikasi palsu #kuil #Batu Caves #hilang #jongkong emas
;