Dua deret rumah menempatkan 16 buah pintu musnah dalam kebakaran
Eleanor Michelle Patrick
Oktober 7, 2021 17:31 MYT
Oktober 7, 2021 17:31 MYT
KOTA KINABALU: Dua deret rumah yang menempatkan kira-kira 16 buah pintu musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Telipok, di sini, sekitar jam 1 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 petang.
Sepasukan 19 anggota dan pegawai telah dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar daripada rumah yang berkeluasan keseluruhan 600 meter persegi berkenaan.
“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan empat aliran sepanjang 121 meter menerusi bekalan air tangki jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya kedudukan rumah terlalu dekat antara satu sama yang lain menyukarkan lagi usaha untuk mengawal kebakaran.
Bagaimanapun api berjaya dikawal pada jam 3.14 petang dan tiada mangsa yang mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Operasi kemudiannya ditamatkan selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” ujarnya.