Dua daripada tiga mangsa perahu karam masih belum ditemui

Muhafandi Muhamad
Oktober 5, 2014 20:22 MYT
Menurut pihak polis, arus sungai yang deras dan keruh menyukarkan pencarian walaupun pihaknya menggunakan unit scuba - Gambar fail
Sehingga jam 5 petang ini, dua daripada tiga mangsa perahu karam, iaitu Wan Nurdiana Nalia Wan Ahmad Azli,10 dan adiknya Wan Nur Habib Naufal Wan Ahmad Azli, 6 masih belum ditemui.
Mayat ibu mereka yang turut dibawa arus deras, Rosmiwati Zakaria, 37, seorang Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut telah ditemui sekitar jam 5.45 petang semalam dan jenazah beliau sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pintu Geng selepas solat Zuhur pada Ahad.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (JBPM), Azmi Othman pihaknya dengan kerjasama agensi keselamatan yang lain telah memulakan semula operasi mencari kedua-dua mangsa berkenaan seawal jam 7.15 pagi Ahad.
Katanya arus sungai yang deras dan keruh menyukarkan pencarian walaupun pihaknya menggunakan unit scuba.
Katanya siasatan awal pihaknya juga mendapati pengusaha perahu berkenaan membawa lebih muatan dan tidak memakai jaket keselamatan.
Perahu berkenaan hanya boleh memuatkan lapan atau 9 orang penumpang, namun pengusaha perahu berkenaan membawa 17 penumpang.
Azmi menambah, perahu berkenaan dipercayai karam kerana tidak dapat menampung beban muatan.
Kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.
Katanya pihaknya akan terus menjalankan operasi mencari walaupun arus sungai ini deras.
Beliau juga menasihati orang ramai yang ingin menyeberang Sungai Golok pada masa ini supaya berhati-hati dan memakai jaket keselamatan kerana arus sungai sangat deras dan membahayakan bot kecil.
Pada Sabtu, perahu yang membawa 17 penumpang telah terbalik dan karam di Kampung Munduk, Jeram Perdah, Pasir Mas.
14 penumpang lain berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi dan diselamatkan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian.
Namun, tiga beranak itu gagal berbuat demikian kerana arus deras.
#lemas #Pengkalan Haram Pok Jik #perahu karam
;