Dua cedera, seorang tertimbus runtuhan konkrit berhampiran LRT Gombak
Afiezy Azaman
Mei 22, 2019 05:00 MYT
Mei 22, 2019 05:00 MYT
Sebuah bangunan pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Terminal Gombak, Jalan Taman Melati mengalami runtuhan konkrit pada awal pagi, Khamis.
Kejadian tersebut turut menyebabkan tiga orang mangsa dihempap runtuhan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur panggilan kecemasan diterima pada 1.13 pagi.
"Seramai 46 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan Gombak Selatan yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Dewan Badan Raya Kuala Lumpur (DBKL) bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, bomba mendapati runtuhan konkrit di sebuah bangunan dalam pembinaan dianggarkan berkeluasan 2,500 kaki persegi.
"Terdapat tiga orang mangsa terlibat, dua daripadanya telah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital manakala seorang lagi warga Indonesia masih terperangkap," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, pihak bomba menggunakan khidmat anjing pengesan K9 bagi mengesan sekiranya masih terdapat mangsa tertimbus di bawah runtuhan.
Ketika ini, kerja-kerja mengalihkan runtuhan dan operasi mencari dan menyelamat masih sedang dijalankan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan LRT Laluan Kelana Jaya di laman twitter @MyRapidKL mengesahkan kawasan lokasi runtuhan tidak termasuk di terminal LRT Putra Terminal Gombak.
Jelas laman itu lagi, pada masa ini, semua perkhidmatan LRT beroperasi seperti biasa.