Dua cedera apabila motosikal cuba dihidupkan tiba-tiba terbakar
Adie Sufian Zulkefli
Jun 23, 2020 09:30 MYT
Jun 23, 2020 09:30 MYT
Dua penunggang motosikal melecur di tangan selepas motosikal mereka tiba-tiba terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Isnin, kedua-dua mangsa sedang cuba menghidupkan motosikal yang diletakkan di dalam rumah, namun ia tiba-tiba terbakar lalu menyambar tangan mangsa.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di Kampung Padang Limau, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba Tikam Batu kemudian dikerah ke lokasi kejadian dan mendapati dua jenis motosikal iaitu Yamaha Ego dan Yamaha Ego S terbakar di bahagian hadapan.
Api berjaya dipadamkan tidak lama kemudian.
Kebakaran dipercayai akibat kerosakan pendawaian pada motosikal yang diubah suai.
Kedua-dua mangsa berusia 20-an dan 50-an itu diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.
#bomba
#JBPM Kedah
#kerosakan pendawaian
#Mohamadul Ehsan Mohd Zain
#motosikal terbakar
#Yamaha Ego
#Yamaha Ego S