Dua buruh Indonesia maut dihempap dinding parit konkrit

Rudi Affendi Khalik
Mei 9, 2024 14:53 MYT
Operasi menyelamat berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan jentera jengkaut milik kontraktor binaan.- Foto JBPM Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Dua buruh binaan warga Indonesia maut selepas dihempap dinding konkrit di tapak projek pembinaan parit di Lorong Samarindah 14B di sini pada Khamis.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.25 pagi dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan ambulans EMRS dari Balai Kota Samarahan dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati mangsa dihempap dinding parit setinggi lima kaki yang runtuh.
"Dua mangsa yang terlibat merupakan pekerja buruh binaan dan masih terperangkap dalam runtuhan.
Pasukan operasi kata Henderi, kemudian mengaktifkan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan jentera jengkaut milik kontraktor binaan.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh paramedik Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak yang turut berada di lokasi.
Kedua-dua mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Tadi, 29 tahun dan Mustaqim, 42 tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#maut #konkrit #Indonesia #buruh
;