Dua bulan bergelut, kini sektor perhotelan boleh menarik nafas lega
Khairunnisa Kasnoon
Jun 8, 2020 08:00 MYT
Jun 8, 2020 08:00 MYT
Dalam tempoh dua bulan lalu, sektor perhotelan dan pelancongan di seluruh negara, termasuk Langkawi, berdepan waktu yang sukar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020.
Ia seterusnya dilanjutkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hingga 9 Jun 2020.
Bagaimanapun, bermula 10 Jun nanti, banyak pihak dalam bidang hospitaliti boleh menarik nafas lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, sekali gus membolehkan aktiviti pelancongan domestik dibuka semula.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Eugene Dass memaklumkan pihaknya amat berbesar hati dengan perkembangan terbaharu itu dan yakin ia mampu membantu sektor perhotelan domestik kembali bernyawa.
"Pengusaha-pengusaha hotel khasnya di Langkawi yang menjadi destinasi pelancongan, memang gembira dengan pengumuman tersebut sebab selama ini, sebelum pengumuman (dibuat) pun memang pihak hotel sedang dalam mood bersiap sedia dari segi penjarakan sosial, kit kebersihan dan latihan staf.
"Memang semua hotel sudah bersiap sedia malah beberapa hotel telah menyiapkan pakej-pakej yang menarik untuk pelancongan domestik," ujarnya.
Mengakui berdepan waktu sukar ketika PKP dan PKPB, namun katanya, semua ahli MAH terus kekal bersemangat dan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Malah, mereka juga sentiasa berada dalam keadaan siap sedia berdepan sebarang kemungkinan.
"Masa PKP, semua ahli patuhi SOP dan apa-apa yang disuruh kerajaan.
"Kami mengalami waktu sukar dalam tempoh dua bulan, bagaimanapun, sudah pasti kami bersedia untuk terima pelancongan, " katanya lagi.
#COVID-19
#Eugene Dass
#hospitaliti
#Langkawi
#MAH
#pelancongan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKP
#PKPB