Dua bot nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM3 juta - Maritim Kelantan

Bernama
Disember 24, 2021 15:15 MYT
Kedua-dua bot terbabit masing-masing dikesan pada jarak lebih kurang 46.3 dan 48.8 batu nautika daripada muara Tok Bali di sini semasa rondaan Op Kuda Laut. - Gambar Sinar Harian
PASIR PUTEH: Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negeri ini, Rabu lepas.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata bot pertama dikesan pada 1.25 petang dengan menahan 18 kru termasuk tekong manakala bot kedua dengan lima kru termasuk tekong dikesan pada 2 petang.
Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit masing-masing dikesan pada jarak lebih kurang 46.3 dan 48.8 batu nautika daripada muara Tok Bali di sini semasa rondaan Op Kuda Laut.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Malah, kesemua 23 kru dari kedua-dua bot ini adalah warga Vietnam berumur 18 hingga 47 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya pada sidang media di pejabat Maritim Kelantan hari ini, dan menambah kesemua suspek negatif COVID-19 selepas melakukan ujian calitan.
Khairun Dalilah berkata pihaknya turut merampas dua bot, lebih kurang 1,000 kilogram (kg) ikan, peralatan menangkap ikan dan bekalan diesel 1,700 liter dari kedua-dua bot terbabit dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih kurang RM3 juta.
Kesemua peralatan dirampas dan suspek dibawa ke Jeti Tok Bali untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta sama, katanya.
-- BERNAMA
#maritim kelantan #bot nelayan #nelayan vietnam #ceroboh perairan
;