Dua bot mencurigakan dikesan di perairan utara Langkawi

Hilal Azmi
Mei 28, 2015 17:05 MYT
Kapal KD Kasturi menyertai operasi Sekat sejak 25 Mei lalu kini menjalan operasi di Sektor G yang berkeluasan 800 batu nautika persegi di Perairan Langkawi. - Foto Astro AWANI
Dua bot dipercayai membawa pelarian Rohingya dikesan di Selat Chincin berdekatan perairan Langkawi.
Bot berkenaan dikesan kapal peronda Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) sekitar jam 9.30 pagi di sini hari ini.
Menurut pegawai memerintah KD Kasturi Kepten Sharum Shaim, bot berkenaan berada dalam Sektor F bergerak mendekati perairan Malaysia.
"Kami mendapat maklumat daripada Leftenan Komander Ismail Karsin, Pegawai Memerintah KD Ledang yang melaporkan rondaan mereka pagi ini mendapati terdapat sebuah bot yang tidak dikenali menghampiri sempadan perairan Malaysia"
"Bot tersebut dilaporkan berada kira-kira 5 batu nautika daripada kedudukan KD Ledang namun, selepas mereka kesan beberapa elemen marin yang meronda, bot tersebut berpatah balik," tambah beliau.
Kapal KD Kasturi menyertai operasi Sekat sejak 25 Mei lalu kini menjalan operasi di Sektor G yang berkeluasan 800 batu nautika persegi di Perairan Langkawi.
Op Sekat digerakkan dalam usaha menangani ancaman pencerobohan melalui jalan laut di samping memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang dilaporkan masih terkandas di Perairan Langkawi.
Terdapat lapan sektor dengan keluasan 1959.75 batu nautika persegi dikenalpasti sebagai lokasi berisiko menjadi tumpuan aset daripada TLDM seperti KD Kasturi, KD Lekir, KD Ledang, KD Jerai dan beberapa aset lain digerakkan untuk operasi kali ini.
#KD Kasturi #Rohingya #Selat Chinchin #TLDM
;