Dua bot disyaki klon, guna nombor pendaftaran palsu ditahan
Bernama
Jun 2, 2018 12:47 MYT
Jun 2, 2018 12:47 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam kelas C2 yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan kerana melakukan pelbagai kesalahan di Perairan Kemaman pada 7 hingga 8.40 pagi, Khamis (31 Mei).
Ketua Zon Maritim Kemaman Leftenan Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua bot terbabit sedang menarik pukat di kawasan perairan Pahang.
"Kedua-dua bot itu yang menggunakan nombor pendaftaran PAF 4385 dan KARANG 3 ditahan pada jarak yang berbeza iaitu pada jarak 94 batu nautika dan 95 batu nautika dari Kuala Kemaman.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot nombor pendaftaran PAF 4385 tidak sama dengan nombor pendaftaran pada lesen dan disyaki bot klon manakala bot KARANG 3 pula didapati menggunakan lesen bot yang tamat tempoh," katanya ketika ditemui di Pangkalan Maritim Kemaman di sini, semalam.
Mohamad Rezal berkata hasil siasatan mendapati 19 awak-awak termasuk tekong berumur 18 hingga 48 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan permit menggunakan kru warga asing.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua bot nelayan tersebut menjumpai hasil laut anggaran kira-kira dua tan ikan campur, tiga tan ikan baja dan 20,000 liter minyak diesel yang dianggarkan nilai keseluruhan berjumlah RM2 juta.
Katanya kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, melibatkan nombor pendaftaran bot tidak sama dengan nombor pendaftaran pada lesen bot, Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan permit menggunakan kru warga asing serta Akta Perkapalan dan Saudagar (MSO) 1952 kerana menggunakan lesen yang tamat tempoh.
-- BERNAMA
#bot
#diesel
#Imigresen
#Kemaman
#lesen
#Mohamad Rezal Kamal Bashah
#nelayan
#siasatan
#tekong
#Vietnam
#warga asing