Dua bot berlanggar, seorang nelayan lemas di Pantai Remis

Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2023 14:03 MYT
Seorang nelayan ditemui lemas selepas dua buah bot dipercayai berlanggar sesama sendiri di Kuala Bagan Pachor, Pantai Remis, Lumut, pagi ini.
LUMUT: Seorang nelayan ditemui lemas selepas dua buah bot dipercayai berlanggar sesama sendiri di Kuala Bagan Pachor, Pantai Remis, dekat sini, pagi ini.
Ketika kejadian, dipercayai terdapat tiga mangsa di kedua-dua bot nelayan itu yang terjatuh ke dalam laut.
Dua nelayan berjaya diselamatkan nelayan lain manakala mangsa, seorang lelaki berumur 63 tahun hilang di lautan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.58 pagi.
Menurutnya, kerja-kerja mencari mangsa dilakukan oleh pihak bomba dan nelayan di sekitar muara.
“Pada jam 9.10 pagi, kami terima maklumat daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis mengatakan mangsa telah berjaya dijumpai nelayan pada jam 8.55 pagi.
“Jarak antara muara daripada tempat mangsa dijumpai dianggarkan sejauh tiga kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, pada jam 9.15 pagi, mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Akmal Hussin tamat jam 9.20 pagi.
#dua bot berlanggar #Nelayan lemas #Kuala Bagan Pachor #JBPM Perak
;