Dua bot berlanggar di Selat Melaka, seorang dikhuatiri lemas
Bernama
Februari 13, 2013 18:35 MYT
Februari 13, 2013 18:35 MYT
Seorang pengemudi bot hilang dikhuatiri lemas dalam kemalangan melibatkan dua buah bot yang membawa 18 pekerja syarikat minyak dan gas, Petronas di perairan Selat Melaka dekat Pantai Puteri Tanjung Kling Melaka Selasa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam, mangsa, Mohd Nasir Othman, 21, sedang dalam perjalanan menghantar tujuh pekerja Petronas dari jeti KNM Pengkalan Perigi ke terminal gas asli cecair (LNG) sejauh tiga kilometer.
Bagaimanapun, katanya, selepas perjalanan kira-kira satu kilometer, bot fiber dikendali mangsa kemudian bertembung dengan sebuah lagi bot membawa 11 penumpang yang dalam perjalanan pulang dari terminal LNG ke jeti Tanjung Beruas di sini.
"Akibat perlanggaran itu, bot yang dipandu Mohd Nasir pecah sedikit dan mangsa terjatuh ke dalam laut sebelum polis menerima laporan kehilangan mangsa pada 11.15 malam," katanya.
Beliau berkata kesemua penumpang bot mangsa kemudian menaiki sebuah lagi bot yang terlibat dalam kemalangan itu sebelum diselamatkan pasukan penyelamat Petronas.
Salehhudin berkata bot mangsa kemudian ditunda ke jeti berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kemalangan itu.
Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.18 tengah malam sebelum sebuah jentera dari balai Tangga Batu tiba dua minit kemudian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa kemudian dijalankan dengan bantuan pasukan penyelam dari Balai Jalan Kubu di sini melibatkan enam anggota namun dihentikan pada 3.30 pagi ini.
Katanya operasi bersambung semula pada 7.30 pagi melibatkan 16 bot dengan kekuatan lebih 35 anggota dari pelbagai agensi penyelamat termasuk tentera danAgensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini Mohd Nasir gagal ditemui.