Dua bot, 10 nelayan asing ditahan

Aida Aziz
Februari 6, 2020 11:01 MYT
Bot asing itu disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan dalam perairan Malaysia. Foto Maritim Malaysia
Dua bot dan 10 nelayan warga asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam dua kejadian berasingan baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian pertama melibatkan sebuah bot nelayan asing Indonesia yang ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Malawali di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 4 Feb lalu.
"Bot asing itu disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan dalam perairan Malaysia.
"Bot serta awak-awak berusia di antara 22 dan 40 tahun diiring ke Pusat Tahanan Vesel untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kes kedua, pihaknya menerusi bot penggalang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas disyaki menangkap ikan di zon larangan, iaitu kira-kira 8 batu nautika dari Sungai Belukang, Hutan Melintang, awal pagi Rabu.
“Bot tersebut ditahan ketika sedang menunda ikan dan hasil pemeriksaan mendapati lima warga Myanmar berusia lingkungan 33 hingga 65 tahun berada di atasnya," katanya.
Ujarnya, bot yang ditahan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap melanggar syarat lesen yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Shahrizan mengingatkan khususnya pengusaha bot pukat tunda tempatan supaya mematuhi sistem pengezonan kawasan penangkapan ikan yang telah ditetapkan dalam syarat lesen vesel supaya tidak menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan tradisional serta eko sistem perikanan di negeri Perak.
Dalam pada itu, orang awam dimohon memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.
#bot #bot pukat tunda #jenayah #lumut #nelayan #operasi #pukat tunda #Pulau Jarak #Shahrizan Raman #siasatan #sistem pengezonan #syarat lesen #tangkapan ikan #vesel #warga Indonesia #warga myanmar
;