Dua bersaudara menangis didakwa merogol, lakukan amang seksual
Shuhada Abdul Kadir
Januari 2, 2020 16:37 MYT
Januari 2, 2020 16:37 MYT
Dua lelaki yang mempunyai pertalian saudara hanya mampu menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas masing-masing didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang gadis berusia 15 tahun, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irwan Shah Samsudin, 21, dan Muhammad Hafiz Abdullah, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan terhadap Muhammad Irwan Shah, dia didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di dalam setor bersebelahan sebuah rumah di Kampung Paya Rumput Jaya.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.
Sementara berdasarkan pertuduhan terhadap Muhammad Hafiz, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba buah dada dan kemaluan remaja perempuan sama di hadapan sebuah rumah di tempat yang sama.
Justeru dia didakwa mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara jam 1 hingga 8 pagi, 16 Disember 2019 lalu.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Lee Wai Yee mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh.
Mereka yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja selain terpaksa menjaga ibu bapa yang sedang sakit.
Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan syarat tambahan untuk tidak menganggu atau mendekati mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.