Dua bersaudara maut terkena renjatan elektrik

Astro Awani
Jun 7, 2016 09:26 MYT
Difahamkan, mangsa dapat dikeluarkan sejurus bomba dapat bantuan daripada TNB berkenaan isu punca kuasa elektrik yang terdedah. - Foto Astro AWANI
Dua bersaudara maut akibat terkena renjatan elektrik dalam satu kebakaran di sebuah kedai kitar semula di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.
Kedua-dua mangsa, Koi Ang Leng, 37, dan Koi Kok Leng, 35, yang juga pemilik kilang terbabit, ditemui terbaring tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik sewaktu membuat pemeriksaan di kedai mereka susulan kebakaran berkenaan.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd Faizwan Che Ahmad, bomba dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 9.30 Isnin malam.
“Kami difahamkan oleh pekerja kejadian itu, tempat itu berlaku kebocoran dan salah seorang telah pergi (ke lokasi) untuk membuat pemeriksaan.
“Sewaktu mangsa terjatuh (akibat terkena renjatan), pekerja memanggil mangsa kedua untuk tolong mangsa pertama tadi,” ujar Mohd Faizwan, sambil menambah pihak bomba telah dihubungi susulan kejadian itu.
Mohd Faizwan berkata, pada mulanya, pihak bomba berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa berikutan terdapat aliran eletrik di kawasan lantai kedua-dua mangsa itu ditemui.
Menurutnya, bomba terpaksa mendapatkan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengeluarkan mangsa dengan kayu dari tempat kejadian.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya, untuk bedah siasat manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#bomba #kes kebakaran #mangsa renjatan elektrik #Mohd Faizwan Che Ahmad #TNB
;