Dua beranak terselamat dalam kebakaran rumah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 27, 2022 13:27 MYT
Jun 27, 2022 13:27 MYT
ALOR SETAR: Dua beranak mengalami sesak nafas dan cedera di kaki ketika berlari keluar untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah mereka di Taman Rambai, Jalan Alor Mengkudu, di sini, hari ini.
Mangsa, Tracy Chiew Yen Thung, 16, mengalami sesak nafas kerana terhidu asap tebal manakala ibunya, Ooi Lay Hock, 42, cedera di bahagian kaki selepas terpijak bara api.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan kedua-dua mangsa berada di luar rumah rumah.
“Dua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan ambulan EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, bomba mengambil masa lima minit untuk memadam kebakaran.
Kebakaran itu, kata beliau, menyebabkan kemusnahan lebih 70 peratus pada rumah dua tingkat terbabit.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.