Dua beranak terselamat dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
Januari 3, 2018 17:47 MYT
Januari 3, 2018 17:47 MYT
"Biasanya saya dan anak bongsu, Muhammad Irfan Ilham Mohd Ismail, 2 tahun, tak ikut suami keluar berniaga dan hanya duduk di bilik sewa di rumah ini tetapi hari ni anaknya itu tergerak hati nak ikut”.
Nada lega itu diceritakan Anifah Malek, 35 tahun, yang bersyukur kerana dia dan anaknya terselamat dalam kebakaran pagi tadi.
Anifah berkata, dia hanya menyedari rumah sewa di Lorong Panglima itu musnah selepas melihat banyak nombor panggilan tidak dijawab pada telefon bimbitnya ketika hendak pulang berniaga cakera padat digital (DVD) di pasar tani Bukit Pinang dekat Langgar di sini.
Malah, penyewa lain di rumah itu turut menyangka dia berada di rumah bersama anaknya dan menganggap dia dan anaknya terperangkap dalam kebakaran tersebut.
"Mereka ingat kami kat dalam selalunya suami saya keluar berniaga pagi kami tak ikut tetapi pagi ini macam mana hati saya tergerak hendak ikut suami pergi berniaga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Anifah, ketika kejadian anak sulungnya, Muhammad Ikram Ilham Mohd Ismail, 9 tahun, berada di Sekolah Kebangsaan Langgar.
Sementara itu, menurut Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Abdul Jalil Ishak, sebaik sahaja tiba pihaknya terkejut selepas dimaklumkan pemilik rumah terdapat seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki terperangkap dalam sebuah bilik di rumah itu.
"Kita telah mengarahkan anggota penyelamat mencari keluarga kanak-kanak yang didakwa itu sebelum ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya ada bersama wanita tersebut," katanya.
Abdul Jalil berkata, api berjaya dikawal pada pukul 11.24 pagi dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.