Dua beranak sesat dalam hutan ketika cari durian

Adie Sufian Zulkefli
Jun 18, 2020 19:05 MYT
Sepasukan anggota bomba dan Angkatan Tentera Malaysia melakukan kerja-kerja pencarian dua beranak yang sesat dalam hutan di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam pada Khamis. - Gambar ihsan BOMBA
Selepas tiga jam sesat dalam hutan di Bukit Tangga, dekat sini, seorang ibu dan anak perempuannya yang berusia lapan tahun ditemukan selamat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.53 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam ke lokasi bersama sembilan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Usaha pencarian turut dibantu 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas mengawal sempadan.
Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi didapati terdapat seorang wanita berusia 40-an dan anak perempuannya dalam keadaan lemah dipercayai tersesat dalam hutan berkenaan.
Beliau berkata, jarak antara lokasi kejadian dengan jalan utama adalah sejauh kira-kira lima kilometer.
Dua beranak itu dipercayai masuk ke dalam hutan untuk mencari durian.
#Anak perempuan #Bukit Kayu Hitam #Bukit Tangga #ibu #Kedah #tiga jam sesat
;