Dua beranak serba daif: Ibu akan dipindah ke JKM - MB Perak
Bernama
Januari 18, 2024 20:05 MYT
Januari 18, 2024 20:05 MYT
IPOH: Warga emas yang tinggal bersama anaknya di sebuah rumah daif penuh sampah sarap dan najis di Flat Taman Silibin di sini seperti dilaporkan media semalam, akan ditempatkan di institusi Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM).
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta berjaya memujuk anak wanita itu, Erwan Dahari, 46, agar ibunya Miram Kadir, 77, dipindahkan ke institusi di bawah JKM.
"Kita tidak boleh terima keadaan ini dan JKM ambil tindakan segera untuk pindahkan warga emas itu agar dia dipantau tahap kesihatan termasuk makan minumnya," katanya ketika melakukan lawatan ke rumah anak beranak itu di sini hari ini.
Beliau berkata JKM turut menawarkan kepada Erwan untuk duduk di Anjung Singgah Perak kelolaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) supaya dapat bersama ibunya, namun lelaki itu memohon untuk tinggal di flat tersebut atas alasan mahu menjaga beberapa ekor kucing.
Justeru, Saarani berkata pihaknya tidak mahu berkeras dan membenarkan Erwan tinggal di situ untuk sementara waktu, tetapi kawasan dalam rumah perlu dibersihkan terlebih dahulu supaya sesuai untuk didiami.
Terdahulu media melaporkan dua beranak itu tinggal di rumah dipenuhi sampah sarap dan najis di rumah pangsa tersebut sejak lebih tujuh tahun lepas.
Erwan mendakwa mereka hanya mendapat bantuan Baitumal sebanyak RM300 dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menyara hidup.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata PKMD Kinta akan meluluskan dua bentuk bantuan berjumlah RM900 sebulan kepada dua beranak itu.
Sementara itu, Saarani berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas untuk meneliti kes keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di rumah tinggal atau tidak bertuan hingga mengakibatkan mereka hidup serba daif.
Menurutnya kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk agensi terlibat mencari mekanisme berkesan untuk menyelesaikan perkara itu.
"Flat Taman Silibin ini misalnya, semuanya mempunyai pemilik tetapi ada sesetengah daripadanya telah ditinggalkan begitu sahaja dan satu daripada bloknya tidak mempunyai pihak pengurusan untuk memantau kebersihan dan lain-lain hal.
"Kerajaan negeri tidak akan lepas tangan kerana ia berkaitan dengan kemanusiaan dan tanggungjawab untuk melihat rakyat dapat keluar daripada belenggu seperti yang berlaku di Flat Taman Silibin ini. Ia mungkin ada berlaku di tempat lain seperti Flat HB Road atau Waller Court, perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu kelak untuk diperhalusi," katanya.
-- BERNAMA