Dua beranak, sepupu dicekup bersama 21 ketul ganja mampat
Adie Sufian Zulkefli
September 3, 2022 13:43 MYT
September 3, 2022 13:43 MYT
SUNGAI PETANI: Dua beranak antara tiga individu yang ditahan bersama 21 ketul ganja mampat bernilai RM52,500 dalam serbuan polis di sebuah rumah di Pinang Tunggal, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan jam 4.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, yang menemui sejumlah 21,885 gram ganja di dalam sebuah beg hitam yang diletakkan di dalam bilik utama di dalam rumah terbabit.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun ini adalah dalang dalam aktiviti pengedaran dadah ini yang berperanan sebagai penjaga stor. Suspek yang pertama dan suspek yang ketiga berumur 59 itu merupakan ayah dan anak, yang 59 tahun itu bapa, yang umur 33 tahun itu adalah anak.
Beliau ditemui pada sidang media di IPD Kuala Muda hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek utama duda mempunyai dua anak dan berkerja sebagai pemandu van kilang dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif ganja.
Semakan rekod jenayah suspek mempunyai enam rekod kesalahan kenayah berkaitan dadah dan orang yang dikehendaki.
Sementara suspek kedua adalah sepupunya berusia 22 tahun pekerja kilang dan urin mendapati positif methaphetemin.
Rekod turut mempunyai empat kesalahan lampau melibatkan dadah serta dikehendaki polis.
Jelas Zaidy, ganja ini dipercayai dibawa dari lokasi di utara tanah air untuk pasaran daerah Kuala Muda dan Pulau Pinang.
Katanya polis sedang mengesan saki baki yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ganja ini.
Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bermula 2 sehingga 7 September untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.