Dua beranak rentung dalam kebakaran pondok

Abd Razak Mohd Ali
Januari 1, 2024 10:00 MYT
Sebuah pondok kelas C berkeluasan 20 X 15 kaki musnah 95 peratus dalam kejadian kebakaran di sebuah kebun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, Gerik, awal pagi ini. - Foto JBPM
GERIK: Dua beranak rentung dalam kebakaran pondok yang mereka diami di sebuah kebun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, di sini, awal pagi ini.
Mangsa, seorang wanita warga emas berusia 76 tahun dan anaknya, seorang wanita OKU penglihatan berumur 43 tahun.
Suami mangsa yang berusia 86 tahun berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 7.38 pagi.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima panggilan daripada pihak polis mengatakan bahawa api telah padam dan terdapat dua mangsa di dalamnya.
Katanya, sebaik jentera tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah pondok kelas C berkeluasan 20 X 15 kaki yang musnah 95 peratus.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Kamarul Ariffin Abd Ghani ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan kedua-dua mangsa baru tiga bulan berpindah ke pondok berkenaan.
Menurutnya, suami mangsa dikatakan telah tinggal di pondok itu sejak hampir 20 tahun lalu.
#kebakaran pondok #OKU #warga emas #kebakaran
;