Dua beranak peniaga sate maut, sampel darah pemandu diambil

Abd Razak Mohd Ali
Januari 9, 2023 18:59 MYT
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam Ahad di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh-Butterworth itu mengorbankan Shahren Ismail, 37, dan ibunya Zainab Alias, 64. Foto JBPM
BAGAN SERAI: Polis telah mengambil sampel darah pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan, yang mengorbankan dua beranak di Tebuk Rimba, Simpang 4, Semanggol, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, ujian akan dilakukan bagi mendapatkan kesahihan lelaki berusia 28 tahun itu tidak mabuk ketika kejadian.
Menurutnya, walaupun dari keterangan pegawai penyiasat, tiada gejala mabuk, namun darah pemandu telah diambil untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kehadiran alkohol.
“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian, pemandu terbabit yang bekerja sebagai doktor di Hospital Taiping dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta jenis Toyota Yaris dipandu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dinaiki dua beranak berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, pemandu berkenaan mengalami luka di dada, tangan dan kaki kanan dan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
"Sementara pemandu lori berusia 37 tahun dan ibunya berusia 64 tahun yang merupakan peniaga sate meninggal dunia di lokasi kejadian," ujarnya.
Juna berkata, polis masih menjalankan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, media melaporkan, kejadian sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh-Butterworth itu mengorbankan Shahren Ismail, 37, dan ibunya Zainab Alias, 64.
#dua beranak maut #peniaga sate #Semanggol #sampel darah
;