Dua beranak parah, kereta bertembung lori 12 tan di Kota Marudu
Abdul Hafiz Mustadi
September 23, 2022 14:02 MYT
September 23, 2022 14:02 MYT
KOTA MARUDU: Dua beranak parah selepas kenderaan jenis Toyota Avanza yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori 12 tan di Jalan Kasagaan Pitas, Kota Marudu pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, dua beranak itu yang masing-masing berusia 42 dan 11 tahun itu tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) mangsa yang cedera dikenali sebagai Arnie Maridun, 42 tahun dan Nur Farhana Ain Askali 11 tahun.
"Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.13 pagi melibatkan kenderaan Toyota Avanza dan lori 12 tan tiada muatan.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pasukan penyelamat mendapat dua orang mangsa tersepit dalam kenderaan Toyota Avanza berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan kesihatan untuk menerima rawatan ke hospital," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah jurucakap itu, seorang lagi mangsa dari lori 12 tan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.12 petang.