Dua beranak melecur angkara lilin

Rudi Affendi Khalik
November 10, 2019 08:49 MYT
Keadaan kenderaan yang terbakar dalam kejadian di garaj sebuah rumah di Padawan lewat petang semalam. Foto JBPM Sarawak
Angkara lilin, dua beranak melecur setelah kenderaan Naza Kia yang diparkir di garaj rumah mereka terbakar lewat petang Sabtu.
Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Lucia Liza Peter, 29 tahun, dan bapanya, Peter Noyot.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii berkata, insiden berlaku di Kampung Bunan Gega, Serian.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.23 petang.
"Sebuah jentera dan ambulans Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan enam anggota segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Turut diaktifkan, 11 anggota bomba sukarela Kampung Bunan Gega serta empat anggota Rela.
Setelah tiba di lokasi, kata Tiong, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan kawasan parkir rumah dan satu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza.
"Dianggarkan kemusnahan adalah sekitar 30 peratus melibatkan bahagian belakang kenderaan."
Siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat tumpahan minyak petrol yang menyambar api lilin, kerana kawasan tersebut terputus bekalan elektrik ketika kejadian.
Kedua-dua beranak itu, kata Tiong, terkena api dan melecur ketika berusaha menyelamatkan kenderaan terbabit.
"Mangsa telah dihantar oleh orang awam ke klinik berdekatan untuk rawatan.
"Lucia melecur 30 peratus bahagian paha, manakala bapanya melecur 20 peratus pada bahagian dada, perut dan lengan.
"Kedua-duanya melecur tahap darjah pertama," tambahnya.
Kebakaran telah terkawal dan padam sepenuhnya hasil tindakan awal pasukan bomba sukarela kampung itu yang membentang 500 kaki hos dari pili bomba berdekatan.
#API #bomba #Bomba sukarela #Kampung Bunan Gega #kawasan parkir #kebakaran #kereta terbakar #lilin #mangsa #melecur #minyak tumpah #Naza Kia #Padawan #petrol #putus bekalan elektrik #RELA #Serian #siasatan #Tiong Ling Hii
;