Dua beranak maut motosikal terbabas langgar ayam hutan melintas
Siti Nur Aqilla Omar
September 26, 2022 15:09 MYT
September 26, 2022 15:09 MYT
KOTA TINGGI: Dua beranak maut apabila motosikal yang ditunggang mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok, selepas dipercayai melanggar seekor ayam hutan sedang melintas di kilometer 39.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha MT-09, lelaki berusia 40 tahun dan anaknya berusia sembilan tahun, maut di lokasi kejadian.
Katanya pihak polis menerima makluman berhubung kemalangan itu lebih kurang jam 8 malam.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Felda Pengeli Timur.
"Semasa sampai ke lokasi kejadian, motosikal itu telah hilang kawalan akibat melanggar seekor ayam hutan yang secara tiba-tiba melintas jalan.
"Motosikal itu terbabas ke kawasan rumput di bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan tersebut.
"Orang awam yang melalui jalan tersebut pada jam 7.40 petang telah menyedari sebuah motosikal terbabas di bahu kiri jalan lalu memaklumkan kepada pihak polis," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Hussin, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian.
Kes disiasat d ibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.